Yayasan Pahang bantu 120 mahasiswa tidak pulang beraya - Utusan Malaysia

Yayasan Pahang bantu 120 mahasiswa tidak pulang beraya

SERAMAI 10 mahasiswa dari Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) menerima sumbangan Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang di Masjid KUIPSAS di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pahang memperuntukan RM24,000 untuk disumbangkan kepada kira-kira 120 mahasiswa di Pahang yang tidak dapat pulang meraikan Aidilfitri yang dijangka disambut Khamis ini bersama keluarga.

Mereka merupakan mahasiswa daripada Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) yang menerima sumbangan melalui program Bantuan Prihatin Raya Mahasiswa Asnaf Yayasan Pahang.

Mereka menerima pelbagai barangan keperluan asas, biskut raya dan duit raya dalam majlis yang diadakan di Masjid KUIPSAS, dekat sini hari ini.

Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Ab Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Rektor KUIPSAS, Prof Madya Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin.

Penerima bantuan, Mohamed Mikhail Mohamed, 22, berkata, sumbangan itu dapat menghilangkan sedikit rasa kerinduan kepada keluarganya yang berada di Ayer Hitam, Pulau Pinang.

“Ini adalah kali pertama menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga. Tahun lalu saya mengikuti pengajian secara dalam talian, jadi bolehlah beraya bersama keluarga di rumah.

“Ini adalah pengalaman baharu untuk saya sekali gus perlu terima hakikat bahawa wabak ini memang banyak mengubah cara hidup kita.

“Walaupun tidak dapat beraya bersama keluarga saya ada membuat serba-sedikit persediaan seperti membeli biskut raya untuk dinikmati bersama rakan-rakan lain nanti,” katanya yang kini berada di tahun akhir pengajian peringkat ijazah sarjana muda dakwah di KUIPSAS.

Seorang lagi mahasiswa KUIPSAS, Ahmad Adli Abdul Rahim, 21, yang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda syariah kehakiman dari Kuala Terengganu berkata, sambutan Aidilfitri tahun ini adalah paling menarik kerana ini adalah pengalaman baharu merasai suasana beraya di perantauan.

“Walaupun berasa sedih setiap kali ditanya oleh keluarga tetapi saya tetapkan dalam diri bahawa ini adalah pengorbanan buat keluarga. Yakin bahawa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya yang merupakan anak sulung dari lima beradik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya