Warga pekerja ‘frontliners’ ekonomi, pembangunan negara - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Warga pekerja ‘frontliners’ ekonomi, pembangunan negara – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedar masih terdapat golongan pekerja terjejas dan mengambil masa lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19, walaupun banyak bantuan disediakan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun beliau yakin warga pekerja rakyat Malaysia kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Kata beliau, peranan golongan itu sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai kerajaan.

Jelasnya, hasrat kerajaan adalah bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati bersama tanpa ada sesiapa pun tertinggal.

“Sudah tentulah warga pekerja sebagai frontliners bidang ekonomi dan pembangunan negara mempunyai tugas peranan yang sangat penting untuk mencapai hasrat tersebut,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Hari Pekerja 2021 bertemakan ‘Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat’, hari ini.

Menurut Muhyiddin, sejak setahun lalu, kerajaan menggariskan tiga strategi utama bagi membantu meringankan beban dan membantu warga pekerja secara khususnya dalam berdepan dengan kesukaran semasa akibat pandemik tersebut iaitu mengekalkan pekerjaan, melindungi hak pekerja serta mencipta peluang pekerjaan.

Katanya, kerajaan membelanjakan lebih RM800 juta dalam inisiatif seperti penempatan pekerjaan lebih bersasar, program peningkatan kemahiran dan latihan semula termasuk digitalisasi serta pewujudan platform latihan dalam talian, memberi manfaat kepada pelbagai pihak antaranya Program Subsidi Upah, Program Pengekalan Pekerjaan dan PENJANAKerjaya di bawah Perkeso serta PENJANA HRDF.

“Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenal Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, di bawah strategi kedua, kerajaan dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan contohnya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaian kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji.

Ini termasuk, katanya, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti paternity selama tiga hari, menambah baik amalan kerja dan kehidupan lebih seimbang melalui pengurangan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan akan berusaha memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio ekonomi semasa.

“Untuk tujuan ini, Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2020 sedang dijalankan. Saya berharap semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya.

Di bawah strategi ketiga pula, kata beliau, memberi fokus kepada usaha mencipta peluang pekerjaan antaranya inisiatif program Short-term Employment Program (MySTEP) yang mana pemohon ditempatkan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) secara kontrak.

Beliau memberitahu, sehingga 16 April lalu, seramai 30,377 orang berjaya mendapat pekerjaan melalui program tersebut dan daripada jumlah itu, seramai 27,503 pemohon ditempatkan di sektor awam manakala 2,874 orang pula ditempatkan bersama GLC dan rakan rakan strategiknya.

“Inisiatif ini disasarkan akan mengurangkan jumlah pengangguran, khususnya dalam kalangan lepasan universiti dan anak-anak muda kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya