REMBAU: Seorang warga emas tidak menyangka terpilih menerima suntikan vaksin Covid-19 dos pertama pada hari lahirnya yang ke-72 hari ini.
Hasnah Ab Rahman, 72, dari Chengkau di sini berkata, sejak mengetahui fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula 19 April lalu, dia sering bertanyakan gilirannya daripada anaknya.
Menurut warga emas itu, dia mengetahui bakal divaksin pada hari lahirnya seminggu lalu menerusi aplikasi MySejahtera di telefon anaknya.
“Saya tidak takut sebab anak sulung saya yang bertugas sebagai guru telah menerima vaksin ketika fasa pertama PICK dan tidak alami kesan serius.
“Saya mahu terima suntikan vaksin dan berharap ia jadi tiket untuk merentas negeri berjumpa tiga orang anak yang tinggal di luar Negeri Sembilan. Sudah lama saya tidak dapat berhimpun bersama kesemua anak, menantu, cucu dan cicit susulan pendemik Covid-19,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Rembau, di sini hari ini.
Hasnah berkata, semua individu yang namanya terpilih menerima vaksin tidak membatalkan temu janji vaksin bagi memastikan PICK berjalan lancar serta mencapai sasaran.
“Kelonggaran merentas sempadan daerah dan negeri juga akan dipertimbangkan jika 70 hingga 80 peratus rakyat sudah diberi vaksin,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa berkata, setakat ini seramai 15,121 individu telah berdaftar di daerah ini bagi menerima vaksin Covid-19.- UTUSAN