Warga emas diarah patah balik - Utusan Malaysia

Warga emas diarah patah balik

HOO Chang Hook (dua, kiri) dan Syahrul Nizam (tiga, kiri) ketika meninjau salah satu SJR sempena Program Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aidilfitri 2021, di Jempol hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang warga emas diarahkan berpatah balik ketika cuba merentas daerah tanpa surat kebenaran polis semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 1 Kampung Baru Rompin di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, lelaki berusia kira-kira 65 tahun itu dipercayai dari Gemencheh (Tampin) memberi alasan mahu menziarahi rakannya yang sakit di pekan Rompin.

Menurut beliau, warga emas berkenaan antara sembilan individu yang diarahkan berpatah balik dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 12 Mei lalu. 

“Ini antara alasan yang diberikan individu yang dikesan ingin merentas daerah. Kesemua individu yang gagal menunjukkan surat kebenaran polis dan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan diarahkan berpatah balik.

“Kita harap agar orang ramai akan mematuhi peraturan serta larangan rentas daerah dan negeri ini dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya selepas  Program Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aidilfitri 2021 di sini hari ini.

Turut hadir sama, Pegawai Daerah Jempol merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Jempol, Syahrul Nizam Saleh. 

Chang Hook berkata, sempena sambutan perayaan, seramai 33 pasukan pematuhan SOP terdiri daripada 42 anggota termasuk pegawai polis akan melakukan pemantauan SOP PKP di sekitar Jempol dalam masa sehari.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan di sekitar kawasan perumahan di daerah berkenaan mendapati tiada aktiviti atau orang ramai berkumpul di luar rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya