GEORGETOWN: Polis menahan seorang wanita selepas bertindak menyerang sekumpulan pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika Operasi Pematuhan prosedur standard operasi (SOP) Covid-19 Ahad lalu.
Wanita berusia 58 tahun itu diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kira-kira pukul 1.30 petang hari ini di kediamannya di Pulau Tikus, berdekatan lokasi kejadian di Pasar Awam Pulau Tikus di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penahanan wanita tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat pegawai MBPP di IPD Timur Laut kelmarin.
Menurutnya, susulan tangkapan tersebut pihaknya turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan wanita terbabit untuk membaling ke arah sekumpulan pegawai MBPP ketika kejadian.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Ahad lalu, beberapa pegawai MBPP diserang dan ditumbuk pada bahagian perut termasuk dibaling pisau oleh seorang wanita ketika pasukan tebabit menegurnya berhubung pemakaian pelitup muka dan cuba memasuki ke pasar menggunakan laluan tikus.
Kejadian tersebut berlaku semasa pegawai-pegawai MBPP sedang menutup salah satu laluan kecil di pasar berkenaan yang mana wanita tersebut turut berada di lokasi kejadian. – UTUSAN