Wanita dituduh tipu projek kuih raya - Utusan Malaysia

Wanita dituduh tipu projek kuih raya

WAN Roshaidayati Wan Mohd. Salleh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas kesalahan menipu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan di sini hari ini atas dakwaan menipu dua individu berkaitan pemberian modal perniagaan projek kuih raya, hujung tahun lalu. 

Tertuduh, Wan Roshaidayati Wan Mohd. Salleh, 51, berasal dari Felda Jengka 8, dekat Maran, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Najwa Hashim. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga suri rumah didakwa melakukan perbuatan itu dengan menawarkan pemberian modal permulaan perniagaan projek kuih raya RM2,000 kepada seorang wanita berusia 41 tahun.

Perbuatan itu mendorong wanita terbabit menyerahkan RM500 kepadanya di sebuah restoran di Taman Seri Mahkota di sini, pukul 9.30 malam, pada 31 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Wan Roshaidayati didakwa menipu seorang pemuda berusia 28 tahun bagi tujuan sama dan mendorong menyerahkan RM500 kepada tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Taman Seri Mahkota Aman, pada masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 8 Jun ini. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd. Azahari Mat Asin. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya