Wanita dikompaun RM5,000 salah guna surat kebenaran rentas negeri - Utusan Malaysia

Wanita dikompaun RM5,000 salah guna surat kebenaran rentas negeri

ANGGOTA Rela membantu melakukan pemeriksaan kenderaan keluar masuk ke Perlis di SJR Sanglang, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan seorang wanita cuba menipu pihak berkuasa dengan menyalahgunakan surat rentas negeri memakan diri apabila dia dikompaun RM5,000 dalam kejadian di Padang Besar, Khamis lalu.

Wanita berusia 50-an tersebut menggunakan surat rentas negeri dari Selangor ke Kelantan menukar perjalanannya ke negeri ini kerana cuba menyeberangi sempadan negara ke Thailand.

Bagaimanapun, teksi yang dinaiki wanita berkenaan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) Padang Besar.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, wanita dari Selangor tersebut didapati menyalahgunakan surat kebenaran merentas negeri yang dikeluarkan polis kepadanya.

“Surat kebenaran merentas negeri dari Selangor ke Kelantan itu dikeluarkan kepadanya setelah memberi alasan tidak mempunyai rumah di Selangor dan mahu balik dan tinggal di kampung bersama ayahnya.

“Sebaliknya wanita tersebut menaiki keretapi ke Perlis dan soal siasat mendapati dia ingin menyeberangi sempadan untuk masuk ke Thailand.

“Wanita tersebut kemudian dikompaun sebanyak RM5,000 dan diarahkan ke destinasi yang sepatutnya iaitu Kelantan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Surina memberitahu, dua lelaki berusia 27 tahun dan 37 tahun turut dikenakan tindakan kompaun masing-masing sebanyak RM5,000 kerana merentas negeri ke Kedah tanpa surat kebenaran.

Katanya, mereka ditahan kira-kira pukul 4 pagi kelmarin di SJR Sanglang.

“Siasatan mendapati, mereka dari Kedah dan masuk ke negeri ini melalui jalan tikus. Apabila mahu pulang ke Kedah, mereka ditahan di SJR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, terdapat peningkatan kemasukan kenderaan ke negeri ini sejak dua tiga hari lalu iaitu antara 50 hingga 100 kenderaan sehari.

“Bagaimanapun, semua kenderaan yang masuk mempunyai surat kebenaran yang sah. Antara alasan yang diberikan adalah seperti menghantar anak ke kampung, berlaku kecemasan dan juga kematian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya