KLANG: Tindakan seorang wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa anak kecil menempuh perjalanan satu hari satu malam untuk berjumpa suami yang bekerja sebagai buruh di Sungai Buloh sia-sia apabila dia ditahan berhampiran kolam udang Assam Jawa di sini pagi tadi.
Wanita berusia 34 tahun, warga Indonesia itu mendakwa dia menghabiskan wang RM1,000 untuk memasuki negara ini secara haram.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Rizal Mohamed berkata, wanita dan anak perempuannya itu ditahan bersama 33 lagi PATI warga Indonesia lain dalam dua siri tangkapan sejak semalam.
Menurut beliau, dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan lima lelaki dan enam wanita di Jalan Sungai Serdang, Kapar di sini kira-kira pukul 6.30 pagi semalam, manakala, tangkapan kedua di kawasan berhampiran kolam udang Assam Jawa di Kuala Selangor dan menahan 16 lelaki bersama 10 wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 21 hingga 50 tahun.
“Ketika ditahan, kesemua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan. Mereka dipercayai masuk melalui jalan laut dengan menggunakan bot sebelum mendarat di pesisir pantai Selangor.
“Malah, ada wanita yang ditahan sanggup membahayakan nyawa anak dengan meredah lautan semalaman untuk berjumpa suami. Selain itu, kita juga menahan seorang wanita yang kematian suami dan sedang mengandung empat bulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Rizal, siasatan mendapati kebanyakan mereka sanggup membayar wang antara RM1,500 hingga RM1,800 untuk bekerja di Malaysia.
Katanya, kebanyakan mereka dijanjikan pelbagai pekerjaan antaranya dapat kerja semula dengan majikan lama, bekerja di kedai makan, ladang kelapa sawit dan sebagai pengasuh. – UTUSAN