Wang tunai melebihi RM114 juta milik Najib dan UMNO gagal dilucut hak

Wang tunai melebihi RM114 juta milik Najib dan UMNO gagal dilucut hak

NAJIB Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar keputusan permohonan kerajaan melucut hak wang melebihi RM114 juta miliknya dan UMNO yang disita daripada Pavilion Residences. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 milik Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO yang disita dari Pavilion Residences, milik Obyu Holdings Sdn. Bhd.

Perkara itu ditentukan selepas Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pihak pendakwaan agar wang tunai bernilai jutaan ringgit itu dilucut hak kepada kerajaan.

Bagaimanapun, status quo wang tunai itu masih menjadi tanda tanya kerana mahkamah tidak membuat sebarang perintah sama ada ia dikembalikan kepada pemilik atau disimpan oleh kerajaan.

“Apabila permohonan lucut hak ditolak, tiada keperluan bagi saya untuk memulangkan wang itu kepada sesiapapun,”’ ujar Hakim Muhammad Jamil.

Sejurus keputusan diumumkan, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mengemukakan permohonan lisan untuk menangguhkan keputusan mahkamah bagi membolehkan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan.

Pihak pendakwaan turut memohon penangguhan interim terhadap keputusan tersebut.  

Bagaimanapun, Hakim Muhammad Jamil menolak kedua-dua permohonan atas alasan pada peringkat itu beliau tidak membuat sebarang perintah untuk ditangguhkan.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Muhammad Jamil berpuas hati bahawa pasukan siasatan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) gagal membuktikan bahawa wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

Pada hemat beliau, salah seorang pegawai penyiasat kes, Asisten Komisioner D. Rajagopal gagal membuktikan bahawa wang yang disita mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram, hasil daripada aktiviti haram, kesalahan pecah amanah serta menerima harta curi.

Ujarnya, berdasarkan afidavit pegawai polis itu, mahkamah berpuas hati bahawa imbangan kebarangkalian kesalahan predikat di bawah Seksyen 409 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan tidak dibuktikan.

“Memandangkan kesalahan predikat tidak dibuktikan, maka perlakuan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) dan isu hasil yang diperolehi daripada aktiviti haram tidak timbul,” ujar beliau.

Sehubungan itu, hakim berkenaan berkata, beliau tidak boleh mencapai dapatan bahawa wang sita yang hendak dilucuthak itu adalah hasil daripada perlakuan kesalahan predikat.

Dalam penghakimannya, Hakim Muhammad Jamil turut menyatakan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kaitan wang dalam akaun Ambank milik Najib dengan wang yang disita daripada premis berkenaan.

Mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan bahawa penerima-penerima wang itu telah menukar mata wang asing yang disita dan mengembalikannya kepada Najib.

Mahkamah berpuas hati, penerima-penerima wang daripada akaun Ambank bekas Perdana Menteri itu hanya mengaku menerima wang namun tidak mengiranya atau mengesahkan perbelanjaan mahupun memberinya kepada pihak ketiga.

Hakim berkenaan juga tidak bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak telah menunaikan cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib dan mengembalikan sejumlah RM20 juta kepada beliau.

Mahkamah berpuas hati, Mohamed Nazir menyatakan wang itu tidak diberikan kepada Najib melainkan diberi kepada Pengerusi sebuah syarikat, Tan Sri Othman Razak.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44.

UMNO dan Najib yang merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu hadir ke mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan kerana mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN