JERANTUT: Seorang suri rumah, Nor Faizah Mohamad Hamizam, 29, menerima ujian Allah SWT berikutan keadaan kesihatan anaknya, Nurairis Maisarah Mohd. Zulkarnaen, 3, yang mengalami bengkak di seluruh anggota badan.
Lebih membimbangkan, keadaan perut anak keempatnya itu semakin membesar menjadi buncit manakala bahagian matanya membengkak dan mengalami gangguan penglihatan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Faizah berkata, anaknya sudah lima kali dimasukkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh untuk menjalani rawatan tetapi penyakitnya masih tidak berubah.
“Ketika berusia setahun enam bulan setelah menjalani rawatan pertama, anak saya disahkan mengalami buah pinggang bocor berikutan masalah kencing tidak lawas, anggota badan, mata dan kaki bengkak.
“Dia menerima rawatan susulan di hospital sama malah ditempatkan di wad selama beberapa hari tetapi penyakitnya tidak berubah sehingga merungsingkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Perumahan Rancangan Tanah Pemuda (PRTP) Kampung Bukit Dinding, di sini semalam.
Menurut Nor Faizah, kali terakhir anaknya dimasukkan ke wad pada bulan lalu dan hasil pemeriksaan doktor mengesan terdapat tanda penyakit lain dihidapi Nurairis Maisarah, iaitu di bahagian hati manakala ususnya semakin sempit.
“Keadaan kesihatannya tidak berubah dan sebelum Hari Raya Aidilfitri, keseluruhan anggota badannya membengkak dan lebih ketara di bahagian perut serta matanya,” katanya.
Dia yang mempunyai empat anak berusia antara 13 tahun hingga tiga tahun berkata, Nurairis Maisarah sebelum ini boleh bergerak tetapi sejak dua minggu ini langsung tidak mampu berdiri kerana badannya bertambah berat akibat perubahan anggota berkenaan.
“Saya masih menunggu rawatan dan difahamkan doktor akan membuat pemeriksaan secara pengimbas sekali lagi pada 7 Jun ini untuk menentukan penyakit serta lanjutan untuk pembedahan di Hospital Selayang.
“Tetapi ketika menunggu rawatan bulan depan, saya risau melihat fizikalnya semakin membengkak dan kerap menangis serta cuma minum susu kerana tidak berselera makan,” katanya.
Nor Faizah yang mengidap penyakit hipertiroid berkata, pada peringkat awal dia terpaksa berniaga menanggung keluarga menjual ketupat dan kuih secara khidmat tunai ketika penghantaran (COD) kerana suaminya, Mohd. Zulkarnaen Idham Zaabar, 36, mengalami penyakit kencing manis dan tidak mampu berdiri lama akibat lemah saraf sejak tiga tahun lalu.
Katanya, sekiranya pembedahan dilakukan nanti di Hospital Selayang, doktor ada memberitahu kos rawatan membabitkan sejumlah RM5,000.
“Rasanya saya tidak mampu menyediakan sejumlah wang berkenaan lantaran sebelum ini sudah banyak dibelanjakan untuk rawatan yang sama, iaitu berulang alik ke Temerloh termasuk penginapan di sana.
Katanya, perniagaan kerap terganggu kerana mengurus kebajikan Nurairis Maisarah termasuk kerap kali menjaganya ketika dimasukkan ke wad.
“Sekarang ini, kami cuma menumpang di rumah emak dan tidak tahu nasib pada masa akan datang. Namun, saya dan suami reda serta bersabar dengan ujian Allah SWT,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Faizah di talian 0136958230 atau menyumbang menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610541100001386. – UTUSAN ONLINE