Tiga individu ditipu pinjaman tidak wujud - Utusan Malaysia

Tiga individu ditipu pinjaman tidak wujud

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai tiga individu di daerah ini menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud melalui Facebook dalam tempoh tiga hari bermula 27 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketiga-tiga mereka iaitu seorang wanita dan dua lelaki mengalami kerugian dengan nilai keseluruhan melebihi RM71,000 apabila terpedaya dengan iklan-iklan pinjaman wang di media sosial.

Bagi kes pertama, katanya, seorang suri rumah berusia 28 tahun berurusan dengan seorang suspek yang dikatakan dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen untuk urusan pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 bagi membuka perniagaan.

Tambah beliau, suspek kemudian meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM57,397 ke dalam enam akaun berbeza.

“Mangsa kedua pula adalah seorang pengusaha makanan berusia 38 tahun yang berurusan dengan empat individu yang dikatakan ejen bank untuk pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 bagi mengembangkan lagi perniagaan.

“Suspek meminta mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM11, 834.40 ke dalam tiga akaun berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, kes terakhir pula melibatkan seoang pekerja hotel berusia 34 tahun yang berurusan dengan dua individu untuk pinjaman peribadi sebanyak RM10,000.

Mangsa membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM1 860 ke dalam dua akaun berbeza.

“Kesemua mangsa membuat pembayaran ini setelah diarahkan oleh suspek yang dikatakan untuk tujuan wang jaminan, ‘prepayment capability receipt’, wang proses, wang insurans, yuran guaman dan pelbagai alasan lagi. Mangsa hanya menyedari diperdaya setelah masih diminta membuat pembayaran dan wang pinjaman yang dijanjikan masih gagal diperoleh.

“Mangsa-mangsa dalam kes ini diberikan dokumen perjanjian pinjaman yang kononnya sebagai bukti bahawa pinjaman yang dibuat adalah wujud. Mangsa-mangsa juga menerima mesej yang dikatakan daripada pihak bank bahawa pinjaman mereka diluluskan,” katanya.

Ujar beliau, siasatan masih dijalankan dan usaha memburu suspek serta sindiket terlibat masih dijalankan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, sepanjang bulan lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson membuka lima kertas siasatan dengan modus operandi penipuan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM80,537.40. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya