Tiada tanda harga kesalahan paling tinggi dikesan sejak pelaksanaan SHMMP 2021 - Utusan Malaysia

Tiada tanda harga kesalahan paling tinggi dikesan sejak pelaksanaan SHMMP 2021

ALEXANDER Nanta Linggi menunjukkan barangan basah yang dijual ketika melawat gerai jualan pada Program Jualan Prihatin Raya di perkarangan KPDNHEP, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak meletakkan tanda harga adalah kesalahan tertinggi direkodkan
sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP 2021) bermula 21 April hingga semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanti Linggi berkata, sepanjang tempoh itu, 217 kes direkodkan iaitu tiada tanda harga (96 kes), tidak meletakkan tanda harga khas merah jambu (67 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (54 kes).

Beliau berkata, kesalahan itu direkodkan selepas pemeriksaan dijalankan di 31,167 premis perniagaan di seluruh negara.

“Kami turut menyita pelbagai barangan runcit bernilai RM22,008 dan mengeluarkan keseluruhan kompaun berjumlah RM31,800 kepada mereka yang melanggar arahan skim berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Raya (JPR) di sini, hari ini.

Katanya, Johor merekodkan kesalahan tertinggi dengan 59 kes diikuti Sarawak (34 kes), Terengganu (28 kes), Perak (17 kes), Sabah (16 kes), Kelantan (16 kes), Pulau Pinang (14 kes) dan Kuala Lumpur (13 kes).

Alexander berkata, pihaknya hanya menerima 27 aduan berkaitan kenaikan harga barang dan tiada tanda harga daripada pengguna sepanjang pelaksanaan SHMMP 2021 setakat semalam.

Menurutnya, beliau mendapati skim berkesan bagi membendung kenaikan harga berlebihan khususnya bagi barangan keperluan harian.

“Pengguna nampaknya sudah boleh menerima harga siling barangan keperluan yang ditetapkan KPDNHEP sepanjang pelaksanaan SHMMP 2021 itu. Kita berharap tidak ada lagi aduan dan kes-kes berkaitan kenaikan harga barangan dikesan sehingga skim ini tamat pada 20 Mei ini,” katanya.

SHMMP 2021 dilaksanakan dengan dua fasa dengan fasa pertama bermula 21 April lalu membabitkan 12 jenis barangan, manakala fasa kedua pula dikuat kuasakan bermula 6 Mei hingga 20 Mei ini dengan memasukkan 20 lagi jenis barangan keperluan harian menjadikan 32 jenis barangan keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN