Tiada pekerja, industri laut dalam terhenti  - Utusan Malaysia

Tiada pekerja, industri laut dalam terhenti 

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyampaikan sumbangan kepada asnaf sempena Ramadan di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Jabatan Imigresen perlu melonggarkan syarat kemasukan pekerja perikanan atau awak-awak dari Thailand, Vietnam dan Myanmar bagi membolehkan ratusan bot nelayan laut dalam yang tersadai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat digerakkan semula. 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata,  selain menghidupkan semula industri perikanan, bot nelayan laut dalam juga dapat menjadi benteng pertahanan menghalang  pencerobohan perairan negara.

“Permohonan untuk membawa masuk pekerja nelayan atau awak-awak dari Thailand sudah ada dan diluluskan namun terhalang disebabkan peraturan ketat Jabatan Imigresen.

“Kerajaan melalui Jabatan Imigresen kena melonggarkan syarat kemasukan pekerja asing  bagi membolehkan bot laut dalam yang tersadai dapat digerakkan semula.

“Pekerja tempatan kurang daya ketahanan untuk bekerja di atas bot laut dalam kerana kebiasaannya mereka akan berada di lautan berminggu-minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program bantuan asnaf sempena Ramadan Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Mengenai kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) menahan tiga bot nelayan asing dari Vietnam di Terengganu pada Jumaat lalu, Syed Abu Hussin berkata, ini menunjukkan ketiadaan bot nelayan tempatan memberi ruang kepada bot asing menceroboh perairan negara.

“Di Bukit Gantang sahaja iaitu di kawasan Panchor dan Kuala Sepetang, ada 300 buah bot laut dalam yang tersadai akibat ketiadaan pekerja  dan perkara ini berlaku sejak pandemik Covid-19. 

“Justeru bagi memastikan sumber perikanan kita tidak terus diambil penceroboh asing, kerajaan perlu segera bertindak bagi  menggerakkan semula industri laut dalam,” katanya.

Semalam, Maritim Malaysia mengusir tiga buah bot penguat kuasa Vietnam dari menghalang mereka merampas tiga buah bot negara itu yang menceroboh perairan negara pada kedudukan 119 hingga 120 batu nautika Timur Laut Kuala Terengganu. 

Dalam kejadian itu, Maritim Malaysia turut merampas hasil tangkapan 1.5 tan dan menahan 19 nelayan Vietnam termasuk tekong yang semuanya berusia 21 hingga 61 tahun dengan aset rampasan keseluruhan bernilai RM4.5 juta. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN