BAGAN DATUK: Terminal Feri Antarabangsa Hutan Melintang di sini, yang biasanya sibuk dengan warga Indonesia pulang ke kampung terutama sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri kini sepi dan tidak beroperasi.
Tinjauan Utusan Malaysia di terminal berkenaan mendapati, tiada sebarang aktiviti dijalankan di situ ekoran larangan keluar masuk warga asing disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkan warga Indonesia yang menggunakan perkhidmatan feri dari terminal berkenaan tidak dapat balik kampung dari sini menuju Pelabuhan Teluk Nibung di Tanjung Balai, Sumatera, Indonesia.
Tambang penumpang dari terminal feri di sini ke Tanjung Balai ialah RM220 bagi setiap seorang dan mengambil masa kira-kira lima atau enam jam perjalanan.
Seorang warga Indonesia yang memegang taraf penduduk tetap (PR), Wak Medan Bai, 57, berkata, sebelum ini, dia bersama ahli keluarganya balik kampung di Indonesia terutama menjelang hari raya menggunakan feri dari terminal di sini.
Katanya, biasanya dia dan keluarganya balik kampung selang setahun.
“Pada masa itu, Jeti Hutan Melintang sesak dengan warga Indonesia yang mahu pulang ke kampung halaman mereka dengan menaiki feri. Keadaan bertambah sesak menjelang dan selepas hari raya.
“Saya masih ingat bagaimana keadaan kami sekeluarga dan penumpang yang lain menunggu giliran untuk pemeriksaan dokumen perjalanan oleh pegawai Jabatan Imigresen sebelum dibenarkan naik feri.
“Walaupun begitu, saya rasa seronok kerana dapat balik kampung dan semasa menunggu feri di terminal, dapat juga saya berjumpa dengan kawan-kawasan senegara.
“Tetapi itu semua sudah tiada lagi disebabkan larangan keluar masuk warga asing ke negara ini disebabkan pandemik Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE