Terima banyak kes peniaga daging tidak ikut harga kawalan - Utusan Malaysia

Terima banyak kes peniaga daging tidak ikut harga kawalan

MOHD. Ridzuan Ab Ghapar (baju putih) bertanyakan sesuatu kepada penjual daging ketika melakukan tinjauan SHMMP di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri menerima sebanyak 12 kes berhubung peniaga daging lembu tempatan yang tidak mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) sejak dilaksanakan dua minggu lalu.

Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, kes berkenaan dilaporkan antara yang tertinggi daripada 15 kes yang direkodkan sejak 21 April lalu sehingga semalam.

Menurutnya, sebanyak 1,448 pemeriksaan di peringkat runcit dan borong dilaksanakan di lima daerah negeri ini melibatkan pelbagai kesalahan.

“Penjualan harga daging tidak mengikut kawalan harga yang ditetapkan adalah paling tinggi berbanding peniaga gagal mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Hasil pemeriksaan tersebut, pihak kita mengeluarkan kompaun kepada peniaga terlibat sebanyak RM3,200,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan SHMMP di Pasar Awam Bayan Baru, di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memberitahu, pihaknya juga mengeluarkan 14 notis kepada peniaga ayam menerusi Op Rantai Ayam di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011.

Jelasnya, tindakan tersebut dikenakan bagi tujuan mendapatkan maklumat berhubung kenaikan harga barangan basah tersebut.

Pada masa sama, tambah beliau, pihaknya menjalankan pemeriksaan di bawah Op Pantau bagi memantau pematuhan peniaga di pasar Ramadan serta bazar Aidilfitri.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Ridzuan memberi jaminan stok bagi bekalan barangan keperluan di negeri ini mencukupi menjelang perayaan Aidilfitri minggu depan termasuk sekiranya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kembali dikuat kuasa di Pulau Pinang.

Pelaksanaan SHMMP 2021 yang bermula sejak 21 April lalu sehingga 20 Mei ini melibatkan 29 jenis barangan terdiri daripada ayam, telur ayam, daging, sayur, barang kering dan hasil laut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN