SUNGAI PETANI: Gara-gara membenarkan pelanggan makan di restoran, pemilik sebuah restoran berdekatan Hospital Sultan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dikompaun RM10,000 hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pemilik restoran, lelaki berusia 40 dari Kuala Ketil dikompaun dalam operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pukul 9.45 pagi.
Menurut beliau, ketika serbuan terdapat beberapa pelanggan sedang makan di restoran terbabit sebelum mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.
“Kompaun dikeluarkan mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPP) 2021 dan pemilik restoran terbabit perlu membayar kompaun berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah,” ujarnya. – UTUSAN