Tamat khidmat Tajuddin tidak beri kesan kepada UMNO - Utusan Malaysia

Tamat khidmat Tajuddin tidak beri kesan kepada UMNO

RUSDI OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penamatan khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) tidak memberi kesan kepada pemimpin UMNO lain yang masih memegang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, situasi berkenaan juga dilihat tidak menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan dijangka UMNO tidak melakukan tindak balas terhadap keputusan tersebut.

Katanya, penamatan khidmat Tajuddin bukan disebabkan parti, sebaliknya atas sikap individu itu sendiri yang dilihat gagal mengendalikan sidang akhbar berhubung insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini.

Malah katanya, sikap Tajuddin itu sendiri yang dilihat boleh memberi kesan kepada UMNO.

“Dalam isu ini, saya tidak nampak pemimpin UMNO lain turut akan dipecat daripada jawatan dalam GLC ini. Pemecatan tersebut dilihat atas sikap Tajuddin itu sendiri dan tidak ada kena mengena dengan parti.

“Tajuddin dilihat berseloroh pada waktu yang tidak betul. Beliau (Tajuddin) sepatutnya mengendalikan sidang akhbar itu secara profesional bukan cara pemimpin politik jawab. Dalam kes insiden serius seperti itu kena ada rasa simpati dan patut profesional dalam memberi jawapan,” katanya.

Perkhidmatan Tajuddin dalam Prasarana ditamatkan serta-merta susulan satu surat penamatan perkhidmatan yang ditandatangani Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tersebar dalam media sosial.

Sementara itu, Rusdi berkata, UMNO juga perlu berani melakukan pembaharuan dalam menentukan seseorang pemimpin khususnya yang memegang jawatan tertentu.

“Dalam usaha UMNO melakukan pembaharuan kena tengok balik perlu atau tidak untuk kekalkan pemimpin seperti ini.

“Dalam isu ini, saya lihat tindakan Tajuddin itu sendiri yang memberi kesan kepada UMNO sehingga Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri meminta dia (Tajuddin) meminta maaf,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya