Tak sempat sambut Syawal dengan anak - Utusan Malaysia

Tak sempat sambut Syawal dengan anak

K. Raven Kumar (dua dari kanan) bersama Pengerusi Yayasan Makmur Mersing, Mohd. Youzaimi Yusof (kanan) dan Presiden Ikatan Anak Mersing, Muhammad Syukri Ibrahim (kiri) menziarahi keluarga Ahmad Ikram Jalaludin yang maut selepas terlibat kemalangan dengan lembu di Tenggaroh, Mersing, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Pengawal keselamatan yang maut dalam kemalangan motosikal selepas melanggar lembu di Kilometer 2, Jalan Tenggaroh – Tanjung Leman, pada Khamis lalu tidak sempat menyambut Syawal pertama bergelar bapa.

Allahyarham Ahmad Ikram Jalaludin yang baru menerima cahaya mata kira-kira sebulan lalu juga sempat memeluk erat bapanya ketika mahu keluar bekerja di Ladang Risda Sungai Ambat selepas berbuka puasa bersama-sama pada hari kejadian.

Ibunya, Aina Ahmad, 49, berkata, arwah anak keempat dari enam beradik itu akan singgah ke rumahnya untuk berbuka puasa pada setiap Rabu dan Khamis yang kebetulan jatuh pada hari kerja syif malamnya di ladang tersebut.

“Hari lain dia berulang alik dari rumah ibu mertuanya di Taman Desa Sejahtera, Kota Tinggi dan pada hari kejadian kami baru sahaja berbuka puasa bersama-sama sebelum dia keluar bekerja kira-kira pukul 7.30 malam.

“Namun, dalam tempoh 15 minit kemudian seorang rakannya datang memaklumkan anak saya terlibat dalam kemalangan dengan lembu,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K. Raven Kumar di sini, hari ini.

Utusan Malaysia pada Khamis melaporkan seorang pengawal keselamatan maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala disebabkan hentakan yang kuat selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu.

Malah, motosikal mangsa tercampak sehingga 80 meter ke depan, manakala lembu terbabit turut mati berhampiran kawasan semak di tepi jalan.

Aina berkata, Ahmad Ikram juga menunjukkan sikap aneh apabila memeluk ayahnya begitu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan sebelum keluar rumah.

“Lebih menyedihkan apabila dia tidak sempat untuk menyambut Syawal bersama anak pertamanya yang baru dilahirkan dan kini baru berusia sebulan lebih,” katanya.

Sementara itu, K. Raven berkata, pihaknya akan meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menambah tiang lampu di kawasan dikenal pasti bagi membantu mengurangkan risiko kejadian kemalangan melibatkan lembu dan manusia.

“Di pihak kita sendiri sedang dalam perbincangan dengan TNB untuk cuba tambahkan lampu di kawasan yang gelap.

“Kita yakin melalui program tanggungjawab sosial korporat TNB pun boleh untuk membantu menambah lampu yang mungkin pada jarak setiap 300 meter. Namun apa lebih penting adalah pemilik lembu sendiri jangan biarkan ternakan mereka berkeliaran tepi jalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya