KOTA TINGGI: Impian ibu bapa menimang cahaya mata sendiri sangat dinanti-nantikan meskipun terpaksa menunggu sehingga beberapa tahun sebelum dikurniakan zuriat.
Demikian dilalui sepasang suami isteri di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili, di sini yang enam tahun menanti kehadiran cahaya mata, namun terus diuji apabila bayi mereka mengalami masalah kesihatan selepas dilahirkan Mac lalu.
Lebih memilukan pasangan tersebut, Mohd. Suhaimi Jasmin, 25, dan Asfanizan Othman, 33, sehingga kini tidak pernah dapat mendukung bayi sulung mereka, Nur Qaira Qalisha ekoran dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Asfanizan berkata, semasa mengandungkan Nur Qaira, doktor ada memaklumkan bayinya yang kini berusia dua bulan mempunyai masalah kesihatan termasuk tidak sempurna.
“Pada awal-awal dahulu saya sebenarnya tidak perasan hamil. Masa itu sudah tujuh bulan usia kandungan. Ketika itu kami sangat gembira kerana selama ini memang itu yang kami nanti-nantikan.
“Ketika dalam kandungan, doktor ada maklumkan anak ada mengalami masalah termasuk tidak cukup sifat apabila dilahirkan kelak selain ada masalah hati dan pundi kencing. Namun kami reda kerana menanti terlalu lama.
“Saya melahirkan Nur Qaira dengan mudah secara normal. Alhamdulillah, badannya cukup sifat sempurna. Namun, doktor memaklumkan dia mengalami masalah saluran jantung sempit selain ususnya berada di luar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Asfanizan berkata, sejak lahir sehingga kini dia tidak pernah berkesempatan mendukung bayinya apatah lagi menyusu kerana Nur Qaira masih memerlukan penjagaan rapi di hospital tersebut.
Katanya, kini dia dan suami berulang-alik ke Johor Bahru untuk menghantar lampin pakai buang serta tisu basah sekiranya diminta pihak hospital. Saat itulah digunakan sebaik-baiknya oleh mereka untuk melihat Nur Qaira susulan syarat ketat dikenakan terhadap pelawat ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.
“Suami sempat ambil gambar Nur Qaira di hospital. Itu sahaja satu-satunya gambar yang kami ada bila saudara mara bertanya tentang anak kami,” katanya.
Bagi Mohd. Suhaimi pula, apa diharapkan anaknya itu akan cepat sihat dan dapat pulang ke rumah dengan segera untuk berjumpa dengan keluarga mereka yang tidak sabar untuk melihat Nur Qaira..
“Siapa yang tidak sedih, cuma kami harap dapat mendukung Nur Qaira seperti mana ibu bapa lain yang memiliki anak,” katanya yang bekerja kontrak di kampung namun kini terjejas pendapatan kerana perlu berulang alik ke Johor Bahru.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Nasional Berhad (BSN) Asfanizan 0199541100331054 atau boleh hubungi talian 011-2771 4319. – UTUSAN ONLINE