‘Sudah nasib kami beraya dalam PKPD’ - Utusan Malaysia

‘Sudah nasib kami beraya dalam PKPD’

SHAFIEN Mamat (kanan) menunjukkan kawasan terlibat PKPD semasa taklimat polis di Sekolah Kebangsaan Penggu, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Suka atau tidak, penduduk di tiga kampung dalam Mukim Bunut Susu, di sini perlu menerima hakikat mereka bakal menyambut Aidilfitri dalam keadaan seluruh kawasan itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD berkuat kuasa semalam sehingga 22 Mei ini membabitkan Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas di Mukim Bunut Susu ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 dengan kadar jangkitan tinggi di situ.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk mahu dikenali sebagai Muhammad, 40-an mengakui sedih terpaksa beraya dalam keadaan ‘terkurung’ lebih-lebih lagi kebanyakan mereka tidak sempat ‘keluar’ untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Memang sedih dan terkilan sebab hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum 1 Syawal. Sudah nasib kami terpaksa beraya dalam keadaan PKPD dan berkurung dalam rumah masing-masing tanpa sempat buat apa-apa persiapan.

“Lebih menyedihkan ada dalam kalangan ahli keluarga saya sendiri didapati positif Covid-19. Perkara ini di luar jangkaan kerana kami sudah mengamalkan SOP sebagaimana saranan kerajaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat ketika ditemui pemberita selepas meninjau tahap kawalan di kawasan terbabit malam semalam berkata, selain jalan-jalan masuk utama, pihaknya turut menutup semua ‘laluan tikus’ yang dikenal pasti.

“Sebanyak 30 laluan tikus dikenal pasti dan kita telah tutup semuanya. Kawalan ketat ini dilakukan oleh 117 anggota pasukan keselamatan yang akan bertugas secara bergilir-gilir 24 jam sehari,” katanya.

Beliau menyeru penduduk supaya memberi kerjasama kepada petugas kesihatan yang kini bertungkus-lumus membuat ujian saringan Covid-19 terhadap mereka.

“Saya dimaklumkan sehingga malam ini (semalam) penduduk yang tampil melakukan ujian saringan tidak sampai 50 peratus. Saya harap ketua kampung dapat memujuk penduduk melakukan ujian secepat mungkin,” katanya.

Setakat kelmarin, ketiga-tiga lokaliti terbabit merekodkan 120 kes positif secara mendadak dalam tempoh singkat dengan Kampung Paya Ular mencatatkan 42 kes, Kampung Tualang 26 kes dan Kampung Bechah Palas 52 kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya