Suami isteri didakwa cederakan kanak-kanak pusat tahfiz - Utusan Malaysia

Suami isteri didakwa cederakan kanak-kanak pusat tahfiz

Muhammad Yaqoob didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun pada Mac lalu di Mahkamah Majistret Ampang hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang menguruskan sebuah pusat tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas tuduhan berasingan mencederakan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menghuni pusat tahfiz tersebut.

Norizan Yahaya, 52, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap kanak-kanak itu di antara pukul 6 petang, 9 Mac lalu dan 6 petang, 23 April lalu di pusat tahfiz itu beralamat di Taman Tun Abdul Razak, Ampang.

Sementara itu, Muhammad Yaqoob, 32, yang merupakan warganegara Pakistan turut didakwa menyebabkan kecederaan terhadap mangsa menggunakan rotan pada waktu dan di tempat yang sama.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Suaminya pula didakwa mengikut Seksyen 324 kanun itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun  atau sebatan atau kedua-duanya sekali.

Majistret Farah Nasihah Annuar membenarkan Norizan dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi sepanjang perbicaraan. 

Majistret Normaizan Rahim pula memerintahkan Muhammad Yaqoob dijamin RM5,000 dengan dua penjamin serta turut dilarang mengganggu mangsa dan saksi ketika perbicaraan berlangsung.

Warganegara asing itu turut diarah melapor diri ke balai polis berhampiran setiap awal bulan.

Mahkamah menetapkan 18 Jun ini bagi sebutan kedua-dua kes untuk serahan dokumen.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Abdullah membantah jaminan dikenakan terhadap Norizan kerana kesalahan yang didakwa dilakukan melibatkan seorang kanak-kanak yang merupakan penghuni tahfiz tersebut.

Pihak pendakwaan berhujah, besar kemungkinan kesalahan itu akan dilakukan terhadap kanak-kanak lain.

Sementara itu, peguam Dony Abdullah memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidap penyakit sendi, jantung dan kencing manis.

Menurut peguam bela, anak guamnya adalah pengurus tahfiz berkenaan dan sepanjang direman selama 12 hari, pusat itu tidak beroperasi.

Ujar Dony, pusat tahfiz berkenaan mempunyai seramai sembilan pelajar yang merupakan anak kebajikan dan mangsa dalam kes ini adalah pelajar yang baru sebulan mendaftar di pusat itu.

Dalam pada itu di mahkamah berasingan, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad memohon suami tertuduh tidak dikenakan jaminan kerana lelaki itu merupakan rakyat asing.

Dony yang turut mewakili Muhammad Yaqoob memohon jaminan munasabah kerana anak guamnya mempunyai visa dan dokumen perjalanan yang sah.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa sepasang suami isteri ditahan selepas bapa seorang kanak-kanak membuat laporan polis berhubung kecederaan yang dialami anaknya yang merupakan penghuni pusat tahfiz itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya