KUALA LUMPUR: Siasatan akan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat laporan mana-mana individu terlibat rasuah politik termasuk pemberian sumbangan untuk meraih sokongan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, meskipun tiada peruntukan yang melarang pemimpin atau ahli melompat parti, siasatan masih boleh dilakukan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012.
Kata beliau, kebanyakan siasatan kes membabitkan mereka yang didakwa meraih sokongan dengan bayaran wang tertentu.
“Sebagai contoh, kita siasat kes membabitkan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail berhubung dakwaan cubaan menyogoknya oleh pihak tertentu.
“Namun, siasatan mendapati perkara itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dana SPRM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Azam, tiada peruntukan undang-undang melarang mana-mana pihak untuk pergi atau keluar ke parti lain.
“Terdapat juga mereka yang keluar parti jadi bebas. Ini pun bukan kesalahan lagi di bawah undang-undang negara kita,” jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menggesa SPRM menyiasat dakwaan unsur rasuah berkaitan ahli politik yang lompat parti bagi mendapatkan habuan.
Abdul Hamid mendedahkan perbuatan melompat parti di negara ini perlu disiasat dan mendakwa pemimpin politik telah membudayakan rasuah.
Dalam pada itu, ditanya mengenai dakwaan Abdul Hamid mengenai campur tangan politik dalam PDRM, Azam menyifatkan perkara itu sebagai masalah dalaman pasukan berkenaan. – UTUSAN