PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu kembali dan bertindak sebagai sebuah suruhanjaya bebas yang berani memerangi segala salah laku membabitkan mana-mana pihak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii berkata, SPRM juga tidak boleh tunduk dan perlu bersikap telus berani menjalankan penyiasatan terhadap mana-mana laporan.
Jelasnya, ia termasuk gesaan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang meminta SPRM menyiasat unsur rasuah berhubung perbuatan melompat parti.
” Apabila mendengar sendiri apa yang dibangkitkan oleh Abdul Hamid , jelas kewujudan rasuah di dalam proses lompat parti untuk beralih sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Saya masih ingat, kes Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar tahun 90-an, beliau disabitkan kesalahan hanya kerana menyalah guna kuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan enam tahun. Kali ini kesalahan salah guna kuasa ini lebih jijik dan terbuka apabila ramai Ahli Parlimen di ugut untuk menyokong PN.
“SPRM tidak boleh bertindak ibarat menutup sebelah mata melihat jenayah ini berlalu begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Abdul Hamid dalam sidang akhbar semalam menggesa SPRM menyiasat pemimpin politik yang menjadikan lompat parti sebagai budaya.
Dalam pada itu Razlan berkata, Ahli Parlimen yang di ugut perlu berani tampil dan membongkar kezaliman terbabit.
“Jangan jadikan diri anda sebagai bahan ketawa oleh rakyat kerana melompat demi habuan dan ugutan, beranikan diri anda untuk membongkar kezaliman ini.
“Siasatan mesti dijalankan, mustahil seorang bekas Ketua Polis Negara membangkitkan isu ini tanpa ada asas,” ujarnya.UTUSAN ONLINE