KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan jabatan kerajaan sekiranya terdapat sindiket kartel yang memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan tersebut tidak dapat didedah memandangkan mereka masih memantau perkara itu berdasarkan maklumat yang diterima.
“Belum boleh umumkan jabatan mana yang terbabit sindiket kartel, kita sedang memantau perkara ini.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk dilihat dengan lebih teliti mengenai proses perolehan supaya isu kartel dapat diatasi,” katanya ketika ditemui selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta SPRM, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azam ketika ditanya sama ada terdapat individu lain termasuk golongan kenamaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, Azam berkata, setakat ini tiada penahanan baru dilakukan.
Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.
Penahanan individu terbabit termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion. – UTUSAN