GEORGETOWN: Sisa rawatan air (sisa air) yang dibuang dari Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua) ke anak sungai Sungai Perai tidak berbahaya bagi manusia dan persekitaran akuatik.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, kandungan utama sisa air adalah sisa aluminium yang terhasil dari penggunaan aluminium sulfat atau polyaluminium klorida untuk proses pembekuan dalam rawatan air konvensional.
Katanya, LRA Sungai Dua bukan satu-satunya LRA di Malaysia yang membuang sisa air ke sungai, malah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menganggarkan LRA di Malaysia menghasilkan sebanyak 5,500 tan metrik sisa air setiap hari.
“Hasil ujian bahaya kesihatan menunjukkan sisa biasa dari LRA di negara ini tidak beracun, menghakis, karsinogenik, mudah nyala dan berbahaya kepada persekitaran akuatik.
“Malah, di Pulau Pinang PBAPP telah memenangi anugerah kerana melengkapkan projek penyelidikan bagi menghasilkan bata dari sisa air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas) menyuarakan kebimbangan sekiranya mendapan logam berat yang diragui dialirkan masuk ke Sungai Prai daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di Seberang Perai.
Menurut Jaseni, LRA Sungai Dua beroperasi sejak 1973 dan dalam tempoh 48 tahun tiada insiden pencemaran air dilaporkan di Sungai Perai disebabkan oleh pembuangan sisa air.
“Jika sisa air berbahaya bagi persekitaran akuatik, tidak akan ada ikan di Sungai Perai,” katanya.
Ujarnya, PBAPP juga bekerjasama rapat dengan KASA, SPAN dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menangani sisa air dan memastikan kelestarian Sungai Perai. – UTUSAN ONLINE