PERMATANG PAUH: Prihatin dengan nasib golongan memerlukan bantuan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang di sini tampil menghulurkan sumbangan untuk mereka di bawah program Sinergi Sedekah Ramadan (Sinar) 1.0.
Selain kumpulan penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung, dua lagi golongan yang turut mendapat perhatian di bawah program itu adalah polis bantuan serta pekerja kontrak pembersihan di universiti berkenaan.
Rektor UiTM Pulau Pinang, Prof. Dr. Salmiah Kasolang berkata, program Sinar 1.0 mula dilaksanakan tahun ini menerusi pengumpulan dana awam bagi menanam budaya memberi dan menyumbang dalam kalangan pelajar.
Katanya, sebanyak RM11,670 dikumpulkan dengan hampir 60 peratus penyumbang terdiri daripada kalangan penuntut sendiri manakala selebihnya sumbangan kakitangan, alumni universiti serta penduduk setempat.
“Alhamdulillah, dana ini digunakan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penuntut yang berada di dalam kampus menerusi sumbangan kurma untuk berbuka puasa.
“Selain itu, kita menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima terdiri daripada kalangan penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung, polis bantuan serta pekerja kontrak pembersihan,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini, semalam.
Program tersebut digerakkan hasil inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Pulau Pinang dengan kerjasama Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (Chess) serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej dengan dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan industri. – UTUSAN ONLINE