KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung dakwaan kes salah guna kuasa yang berlaku di Prasarana Berhad telah diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan kes itu telah pun selesai dilakukan pihaknya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa.
“Kes itu sudah selesai libatkan individu tertentu. Kita sudah kemukakan kepada Peguam Negara dan kita tunggu keputusan kalau ada pihak yang boleh dituduh,” katanya ketika ditemui selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta SPRM di sini hari ini.
Pada Januari lalu, SPRM hadir ke pejabat Prasarana Berhad berhubung siasatan terhadap dakwaan Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman cuba menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signifikan dalam syarikat itu.
SPRM telah memulakan siasatan terhadap syarikat pengoperasi pengangkutan awam milik penuh Kementerian Kewangan itu. – UTUSAN