Siasat kesan pencemaran najis babi di Balik Pulau - Utusan Malaysia

Siasat kesan pencemaran najis babi di Balik Pulau

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat kesan tindakan pengusaha ternakan babi di Pantai Acheh, di sini yang membuang sisa najis ternakan itu ke dalam sungai dan laut berhampiran.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana mungkin menjadi salah satu penyumbang kepada pencemaran sungai dan laut yang berlaku di kawasan tersebut ketika ini.

Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan oleh nelayan di Kuala Sungai Pinang yang mana selain pencemaran najis babi, mereka juga berhadapan dengan masalah pembuangan sisa kolam ternakan udang di lokasi itu.

Ujarnya, kedua-dua kejadian itu mungkin menyebabkan air sungai dan laut tercemar sehingga menjejaskan pembiakan hidupan laut dan sumber pendapatan kira-kira 300 nelayan pantai di kawasan berkenaan.

“Ikan, udang, ketam, kerang dan siput yang menjadi sumber tangkapan utama nelayan sejak turun-temurun berkurangan serta hasil pendapatan mereka juga merosot mencecah 50 peratus setiap kali turun ke laut sejak beberapa tahun lalu.

“Selain itu, beratus-ratus hektar kawasan hutan paya bakau dari Kuala Jalan Baru sehingga Pantai Acheh telah musnah dijadikan kolam untuk ternakan udang sekali gus mengancam tempat pembiakan hidupan laut berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohideen, CAP sebelum ini beberapa kali mengemukakan masalah tersebut kepada pihak berwajib kerana bimbang kesan buruk yang berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan diambil.

Di Pantai Acheh, jelasnya, sisa najis babi mengalir dari Sungai Sembilang terus ke laut dan keadaan itu menyebabkan bau busuk yang sangat kuat terutama pada waktu malam sehingga mengganggu aktiviti penangkapan ikan oleh para nelayan.

“CAP percaya jika masalah ini dibiarkan boleh menjejaskan alam sekitar, hidupan laut dan sumber pendapatan nelayan dengan lebih serius lagi pada masa akan datang.

“Jadi kita berharap pihak berkaitan memberi perhatian serius terhadap perkara ini kerana kesannya lama kelamaan boleh menggugat sektor perikanan dan ekonomi negara,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya meminta hasil siasatan dan kajian mengenai masalah tersebut didedahkan kepada umum terutama kalangan nelayan tempatan yang sekian lama dibelenggu perasaan bimbang mengenai nasib dan masa depan mereka. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya