JERANTUT: Seorang guru besar bersama dua guru sanggup menyewa bot penambang Sungai Tembeling bagi menghantar bahan bercetak kepada murid Orang Asli etnik Semaq Beri di Kampung Sungai Kucing, Hulu Tembeling dekat sini untuk membolehkan mereka mengikuti pembelajaran.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Tembeling, Abd. Manaf Mat berkata, bahan bercetak itu terdiri daripada mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam yang dihantar ke perkampungan Orang Asli yang mengambil masa selama 30 minit perjalanan bot penambang.
“Kita menghantar modul bercetak ini kerana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian tidak boleh dibuat memandangkan kawasan itu agak pedalaman dan tiada akses internet.
“Seramai 20 murid Orang Asli etnik Semaq Beri belajar di SK Hulu Tembeling wajar diberi perhatian pelajaran mereka dalam tempoh sekolah bercuti ekoran penguatkuasaan PKP,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Kampung Sungai Kucing di sini semalam.
Menurut Abdul Manaf, tugas menghantar bahan bercetak berkenaan juga mencabar kerana terpaksa menaiki bot penambang mengharungi arus Sungai Tembeling yang deras, kebetulan pula paras air naik berikutan hujan lebat di hulu.
“Kita menyewa bot penambang dengan bayaran sebanyak RM70 untuk setiap kali menghantar bahan bercetak bermula Isnin dan mengutip semula pada awal minggu depan,” katanya.
Guru Pendidikan Islam, Fauzan Md. Thahib pula berkata, tugas menghantar bahan bercetak berupa lembaran kerja sekolah pernah dilakukan pada awal tahun ini ketika penguatkuasaan PKP bagi memastikan murid Orang Asli menerima pelajaran seperti rakan mereka yang tinggal berdekatan sekolah.
“Walaupun sampai ke kampung ini dengan menaiki bot penambang, kita berpuas hati kerana sudah melaksanakan kewajipan memberikan pelajaran kepada murid berkenaan di samping memanfaatkan waktu belajar di rumah,” katanya.
Dalam pada itu, murid Tahun Enam, Farhana Jani menyifatkan kehadiran guru ke kampung mereka cukup bermakna kerana dia memperoleh pengetahuan sepanjang tempoh ‘bercuti’ akibat penularan Covid-19.
“Bakti dan jasa guru SK Hulu Tembeling amat besar bagi saya dan rakan di kampung ini kerana mereka bersusah payah bergadai nyawa merentasi sungai dengan bot penambang semata-mata untuk memberikan ilmu kepada kami.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah dan selesa berada di dalam kelas bersama rakan dalam kalangan orang Melayu sambil berharap wabak Covid-19 kembali pulih,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE