JOHOR BAHRU: Seramai 30 individu termasuk remaja belasan tahun sanggup menyewa tiga apartment di bandar raya ini selama beberapa hari bagi membolehkan mereka berkumpul untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Tindakan itu menyebabkan kesemua mereka dikenakan kompaun keseluruhan sebanyak RM45,000 selepas aktiviti berkenaan dapat dihidu polis yang menjalankan tiga serbuan tengah malam semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, bertindak atas maklumat, pada pukul 12.15 tengah malam, pasukan tindakan khas dan anggota Unit Risikan Sempadan (URS) Balai Polis Sentral mẹmbuat dua serbuan di Apartment Jalan Tanjung Puteri dan satu serbuan di Apartment Persiaran Jaya Putra, Taman Jaya Putra.
Beliau berkata, kesemua individu berkenaan dipercayai menyewa apartment tersebut beberapa hari untuk berkumpul sempena hari raya.
“Hasil serbuan pihak polis telah berjaya menahan seramai 30 orang yang terdiri daripada 19 lelaki dan 11 wanita berusia lingkungan 16 hingga 29 tahun.
“Ketika serbuan dibuat, kesemua yang diperiksa berkumpul di ruang tamu rumah tersebut tanpa penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka.
“Semua yang ditahan dikenakan kompaun di bawah Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2) 2021 kerana melanggar syarat dan tiada penjarakan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE