PETALING JAYA: Pelaksanaan darurat tidak bermakna proses semak dan imbang telah ‘lumpuh’ dalam meneliti perbelanjaan kerajaan apabila Parlimen termasuk jawatan kuasa pilihan tidak bermesyuarat sepanjang tempoh itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebaliknya berkata, segala perbelanjaan negara sepanjang tempoh darurat bakal diteliti dan diaudit oleh Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas tempoh darurat berakhir Ogos ini.
Katanya, buat masa ini, sidang Parlimen dan mesyuarat jawatan kuasa pilihan digantung sepanjang darurat bermula 11 Januari hingga Ogos seperti dijelaskan dalam Ordinan Darurat.
“Ordinan ini menjelaskan bahawa mesyuarat Parlimen termasuk pendengaran jawatan kuasanya tidak bersidang kerana digantung di bawah pelaksanaan darurat. Saya telah merujuk perkara ini kepada penasihat undang-undang Parlimen.
“Namun begitu ini tidak bermakna proses semak dan imbang tidak berlaku dalam tempoh Parlimen meskipun mesyuaratnya dan mesyuarat jawatan kuasa digantung. Sebaliknya, segala perbelanjaan akan diaudit semula ketika mesyuarat nanti iaitu ketika selepas tamat darurat.
“Perkara ini (semak dan imbang) tidak boleh lari, cumanya buat masa sekarang Ordinan Darurat menggantung semua mesyuarat Parlimen tetapi ia boleh dibincang dalam mesyuarat akan datang (tamat darurat),” katanya di sini semalam.
Kelmarin Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, jawatan kuasa yang dipengerusinya telah ‘lumpuh’ selepas tidak dapat menjalankan tanggungjawab semak dan imbang dalam meneliti perbelanjaan kerajaan ketika pelaksanaan darurat.
Kah Woh berkata, perkara itu termasuk menyambung sesi pendengaran sebelum ini dan menentukan isu perolehan vaksin Covid-19 yang melibatkan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).
Katanya, PAC tidak dapat memanggil saksi untuk hadir memberi keterangan malah tidak dapat menentukan perkembangan isu perolehan dan penggunaan vaksin Covid-19 yang melibatkan penggunaan dana KWAN.
Prosiding terakhir PAC adalah pada 5 Januari lalu berhubung perolehan vaksin Covid-19 manakala prosiding lain terpaksa ditangguhkan.
Dalam pada itu, Azhar Azizan memaklumkan, terdapat empat jawata nkuasa pilihan yang wajib ada untuk setiap kali sidang Parlimen berlangsung iaitu PAC, Jawatankuasa Pemilihan, Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Selain itu, terdapat jawatankuasa pilihan khas dengan jumlahnya bergantung kepada keperluan dan buat masa ini terdapat sembilan jawatan kuasa. – UTUSAN ONLINE