SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan sebanyak 16 lokasi pasar tani dan empat Selangor Agro Market (SAM) akan beroperasi sekitar negeri ini sepanjang tiga hari bermula hari ini.
Kesemua pasar tani dan SAM tersebut diwujudkan bagi memastikan bekalan bahan mentah dan barangan keperluan asas mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, selain itu, pelaksanaan pasar tani khas itu juga turut menawarkan promosi khas kepada pengunjung melibatkan tiga barangan keperluan iaitu daging lembu, ayam dan santan.
“Kita telah mempertuntukkan sebanyak RM50,000 bagi pemberian subsidi di mana terdapat potongan harga bagi pembelian tiga barangan ini.
“Menerusi subsidi ini, potongan harga RM5 akan diberikan bagi pembelian sekilo daging, manakala potongan RM3 bagi seekor ayam dan RM2 bagi sekilo santan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Tapak Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini.
Mengulas mengenai pemberian subsidi tiga barangan tersebut, Izham berkata, pemberian subsidi itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan kewangan orang ramai menjelang perayaan tidak lama lagi.
“Kita cuba menganjurkan pasar tani dan SAM di setiap daerah seluruh Selangor bagi memudahkan orang awam mendapatkan barangan keperluan mereka di samping mengurangkan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.
“Kita cuba untuk laksanakannya sebanyak yang boleh bagi pastikan bekalan mencukupi di samping menggelakkan lambakan dan pembaziran,” katanya.
Tambah Izham, pihaknya juga sentiasa memantau dari masa ke semasa produk hasil pertanian yang berdepan kesukaran untuk dipasarkan sewaktu PKP kali ini. – UTUSAN