Selangor rampas dadah RM14.5 juta babitkan dua sindiket  - Utusan Malaysia

Selangor rampas dadah RM14.5 juta babitkan dua sindiket 

Wang tunai RM1.1 juta yang dirampas daripada satu sindiket dadah di Bandar Kinrara dekat sini Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang mulai awal tahun ini tumpas dengan dadah bernilai  RM14.5 juta dirampas dalam serbuan dua hari bermula Isnin lalu.

Dalam serbuan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut merampas wang tunai  RM1.1 juta milik salah satu sindiket berkenaan.

Dadah yang dirampas ialah  jenis syabu dianggarkan seberat 170 kilogram (kg), heroin (147.05 kg),  ekstasi (524 pil) dan ganja (1.45gram).

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan pertama  dilakukan di sebuah kondominium di Bandar Kinrara dekat sini dan menahan seorang lelaki dalam sebuah kereta Perodua Myvi serta merampas dadah jenis  syabu dan heroin.

Menurut beliau, susulan penahanan itu membawa kepada serbuan di tingkat 14 kondominium di situ dan menemukan dadah pelbagai jenis yang diletakkan di dalam sebuah beg.

“Siasatan seterusnua membawa kepada serbuan di sebuah rumah teres dan turut menemukan pelbagai jenis dadah beserta wang tunai  RM1.1 juta dipercayai hasil pengedaran dadah di tingkat atas premis ini dan menahan seorang lagi ahli sindiket,” kata beliau pada sidang akhbar secara maya di sini hari ini

Arjunaidi berkata, siasatan lanjut membawa kepada empat lagi ahli sindiket tersebut yang ditangkap di beberapa lokasi di Brieckfields dan Subang Jaya. 

“Bagi sindiket ini, semua yang ditahan berusia 24 hingga 45 tahun dan mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran sejak tiga bulan lalu.

“Keseluruhan dadah iaitu syabu, heroin dan pil ekstasi yang dirampas  RM3.42 juta dan nilai sitaan RM1.34 juta termasuk wang tunai, kereta, barang kemas dan jam tangan berjenama,” katanya.

Berhubung sindiket kedua, Arjunaidi berkata, serbuan dilakukan pada keesokan harinya dan menahan dua lelaki berusia 25 dan 41 tahun di Seri Kembangan dekat sini.

Menurut beliau, suspek pertama ditahan pada pukul 3.30 petang di dalam sebuah kereta sebelum membawa polis ke sebuah rumah dan menemukan ketulan heroin base dan syabu.

“Kita turut menemukan peralatan digunakan untuk pembungkusan dadah dalam rumah tersebut dan sejam kemudian serbuan dilakukan di sebuah kondominium dan menahan seorang rakannya,” katanya.

Katanya, polis kemudian menemui syabu seberat 51 kilogram disimpan di dalam kereta Volkswagen di kondominium tersebut.

“Bersama sindiket kedua ini, polis berjaya merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM 11.09 juta,” ujarnya.

Tambah Arjunaidi, pihaknya masih menyiasat kaedah sindiket membawa masuk dadah dari negara jiran yang dipercayai untuk dibekalkan sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek kini direman antara dua hingga tujuh hari bermula Selasa lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya