SEREMBAN: Ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir di longkang, kelmarin terus menunggu sehingga anaknya itu ditemukan dalam operasi pencarian.
Nur Ain Ismail, 27, berkata, dia dan keluarga berkumpul sejak kelmarin berhampiran kawasan lokasi operasi mencari dan menyelamat bagi menunggu sehingga anaknya, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, 8, ditemukan.
“Malam tadi (semalam) saya memang tidur-tidur ayam sahaja kerana teringat dan terbayangkannya. Saya akan tunggu dia di sini sehingga jumpa, saya mahu melihatnya.
“Saya rasa lain sangat apabila dia tidak ada. Saya tahu anak saya tidak akan selamat namun saya harap dapat melihat jasadnya buat kali terakhir.
“Saya mahu menguruskan sendiri dan saya reda dengan apa yang terjadi. Walaupun sudah 24 jam anak saya tidak ditemukan, saya terus berdoa ditemukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di lokasi pencarian di kolam tadahan air di Taman Arowana Indah, Seremban 2, di sini semalam.
Kanak-kanak itu yang mesra dipanggil Aqim dalam kalangan ahli keluarga dibawa arus deras selepas tergelincir ketika bermain di longkang di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, di sini bersama abangnya yang berusia sembilan tahun dan seorang lagi rakan mereka berusia 12 tahun.
Sementara itu, tambah Nur Ain, Mohammad Syafiq Mustaqim sempat mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada abangnya.
“Anak saya sempat ucap selamat tinggal pada abangnya ketika kejadian sebelum dibawa arus. Sebelum ini anak saya tidak pernah bermain di longkang berkenaan,” katanya.
Menurutnya, sewaktu kejadian kedua-dua anaknya itu adalah di bawah jagaan bekas suaminya, Mohd. Fadly Md. Sani, 32.
“Bagaimanapun, dia (bekas suami) memaklumkan dia ada kerja yang perlu disiapkan di Kuala Lumpur dan terpaksa meninggalkan anak-anak di rumah,” katanya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4 petang dan menggerakkan anggota polis dan bomba ke lokasi kejadian.
Setakat pukul 5 petang semalam, mangsa belum ditemukan dan kawasan pencarian diperluas sejauh 4.2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh iaitu di Flat Cempaka. – UTUSAN ONLINE