Sambutlah Aidilfitri secara tertutup seperti tahun lalu - Utusan Malaysia

Sambutlah Aidilfitri secara tertutup seperti tahun lalu

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sambutan Aidilfitri secara sederhana dengan diraikan ahli keluarga serumah adalah satu tindakan yang wajar untuk tahun ini, bagi melandaikan keluk penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah terbabit perlu dilakukan dalam memastikan tiada jangkitan dan kluster baharu selepas sambutan Hari Raya tahun ini biarpun tiada kebenaran rentas negeri dan daerah.

Katanya, semua pihak perlu melihat hasilnya tahun lalu apabila tiada kes penularan baharu selepas Aidilfitri kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang tinggi apabila rakyat beraya di rumah sahaja.

“Jika tiada kerjasama daripada rakyat Malaysia, sudah pasti kita tidak akan berjaya maka sambutlah perayaan Aidilfitri secara ‘in-house’ bukan dengan rumah terbuka. 

“Sekiranya tahun lalu kita berjaya lakukan maka kenapa tahun ini, kita tidak melakukan perkara sama,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, semua pihak perlu melihat apa yang berlaku di India hinggakan berlakunya tsunami kerana beberapa aktiviti yang bersar berlaku.

“Kita tidak mahu apabila anda dibawa ke hospital kerana dijangkiti Covid-19 tetapi kita tidak ada katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk menempatkan anda, di situ, kita berdepan dengan masalah. 

“Saya tidak mahu menjadi negara yang terpaksa memilih pesakit, siapa perlu diberi peluang untuk hidup atau mati,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, kit ujian air liur untuk saringan kendiri Covid-19 akan tersedia di pasaran dalam tempoh terdekat yang boleh dibeli di farmasi.

“Mana-mana individu boleh beli dan melakukan ujian sendiri seperti ujian urin untuk kehamilan dan membolehkan mereka tidak perlu hadir ke premis kesihatan untuk membuat saringan.

“Buat masa ini, terdapat dua syarikat dan dua kit ujian dikenal pasti di mana sekarang dalam proses pendaftaran. Selepas semua prosedur dilakukan dan diluluskan maka kit terbabit boleh dibeli di farmasi,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya