Sambut Aidilfitri secara sederhana -Tuanku Muhriz - Utusan Malaysia

Sambut Aidilfitri secara sederhana -Tuanku Muhriz

TUANKU MUHRIZ IBNI ALMARHUM TUANKU MUNAWIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menyeru agar Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut dengan sederhana.

Titah baginda, kesan penularan pandemik Covid-19 telah mengurangkan kegiatan ekonomi sekali gus menjejaskan sumber pendapatan.

“Beta menasihatkan agar sambutan Aidilfitri diraikan dalam keadaan sederhana kerana suasana ekonomi yang tidak menentu. Kesan penularan wabak Covid-19 telah mengurangkan kegiatan ekonomi yang menjejaskan sumber pendapatan.

“Oleh itu, hari raya tahun ini hendaklah disambut sederhana tanpa perbelanjaan yang besar dan mewah,” titah baginda menerusi perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1442H.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut mengingatkan rakyat supaya tidak mengabaikan penjarakan sosial dan sentiasa memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.

“Semua ini adalah amat penting untuk diamalkan kerana inilah sahaja cara kita dapat mengelakkan jangkitan dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Beta juga ingin menyeru kepada semua rakyat yang layak supaya segera mendaftar mendapatkan vaksin Covid-19 bagi memastikan kita semua mendapat perlindungan,” titah baginda.

Dalam perutusan tersebut, baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kepemimpinan kerajaan negeri, petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, pihak swasta dan semua rakyat yang terlibat dalam memerangi wabak Covid-19 terutama yang perlu bertugas pada hari raya ini.

“Beta dan Tunku Ampuan Besar serta keluarga, mendoakan seluruh rakyat negeri ini sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta terus kekal aman makmur, dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya