Rusuhan di Batu Pahat: Polis tahan 20 individu - Utusan Malaysia

Rusuhan di Batu Pahat: Polis tahan 20 individu

BARANGAN yang dirampas polis dalam operasi khas susulan kejadian rusuhan, membakar suar dan menaikkan kain rentang di KM 22.5, Pekan Parit Raja di Jalan Batu Pahat - Kluang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan 20 individu kerana dipercayai terbabit dalam rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 16 dan 28 tahun.

Katanya, mereka adalah penduduk setempat ditahan dalam Operasi Khas bermula pukul 11 malam tadi di sekitar Batu Pahat.

“Operasi Khas ini bagi mengesan dan menahan mereka yang terbabit dalam kejadian merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja.

“Kesemua suspek adalah penduduk setempat dan tiada rekod jenayah sebelum ini. Semua direman empat hari sehingga 17 Mei ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di pekan Parit Raja kira-kira pukul 2 pagi.

Menurut Ismail, dianggarkan 40 orang terlibat membuat halangan dengan menggunakan motosikal dan kereta terhadap pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

“Tunjuk perasaan itu berlaku hampir 15 minit bagi menarik perhatian orang ramai selain memasang kain rentang yang menyatakan bantahan kepada kerajaan serta membakar suar.

“Kain rentang yang sama juga dibawa dan digantung di jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan Parit Raja sejurus selepas kejadian,” katanya.

Katanya, polis juga merampas kain rentang, sisa-sisa pembakaran suar dan mercun di tempat kejadian.

Katanya, siasatan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya