BATU PAHAT: Seramai 13 individu yang ditahan selepas terlibat dalam kejadian merusuh di Parit Raja, di sini, Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kesemua mereka dibebaskan pagi tadi setelah keterangan lengkap diambil.
Bagaimanapun, kata beliau, tujuh lagi individu masih ditahan sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 dan Seksyen 505(b) kanun sama serta Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.
“Selain itu, kesemua suspek berdepan dengan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan juga Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
“Polis memberi jamin kepada 13 orang yang disyaki terlibat dalam kejadian berkenaan pada hari ini, pukul 11.30 pagi manakala baki tujuh tangkapan lagi masih diperlukan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Jumaat lalu, polis menahan 20 individu berusia antara 16 hingga 28 tahun yang merupakan penduduk setempat selepas dipercayai terlibat dalam kejadian rusuhan, menaikkan kain rentang serta membakar suar di Jalan Parit Raja, di sini, pada malam raya Aidilfitri.
Menurut Ismail, siasatan mendapati, aktiviti rusuhan dilakukan pada 13 Mei, kira-kira pukul 2 pagi dengan disertai kira-kira 40 orang.
Kumpulan itu membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada pengguna kenderaan selama 15 minit bagi menarik perhatian selain mengibarkan kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’ serta membakar suar dan mercun di persimpangan Pekan Parit Raja.
Mereka kemudian membawa kain rentang sama untuk digantung di sebuah jejantas di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan sejurus selepas kejadian. – UTUSAN ONLINE