ALOR GAJAH: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah treler di lampu isyarat Jalan Kelemak di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pukul 3.15 petang itu, mangsa, P. Pannir Selvam, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Rembia.
“Setibanya di tempat kejadian, motosikal ditunggang remaja tersebut telah bergesel dengan bahagian sisi kiri treler menyebabkannya terjatuh di bawah tayar kenderaan berat berkenaan.
“Mangsa kemudian digilis dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, hasil siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapati, keadaan cuaca serta lalu lintas adalah baik dan kemalangan dipercayai berlaku atas faktor kegagalan mangsa mengawal motosikalnya.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi yang berada di tempat kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE