PETALING JAYA: Sejak kebelakangan ini, ramai selebriti menceburi politik. Masing-masing mendakwa mahu memperjuang kepentingan negara terutama dalam keadaan kecelaruan politik pada masa kini.
Penyanyi dan selebriti media sosial, Caprice atau Ariz Ramli, 32, berkata, walaupun politik dan hiburan dua bidang berbeza, ia bukan penghalang buat selebriti muda menterjemahkan suara masing-masing.
Menurut Caprice, dia mungkin akan menceburi politik dalam tempoh 10 tahun akan datang untuk memacu negara ke arah yang lebih baik.
Malah penyanyi lagu Wat Lek Wat Peace itu memberitahu, golongan muda perlu diberi peluang untuk meluahkan pandangan dan agenda sendiri, bukannya dipimpin golongan tua semata-mata.
“InsyaAllah, #rapatkansaf2040. Jika ada peluang saya mahu memperjuangkan jihad saya dan bersama-sama memacu negara ke arah lebih baik.
“Selain itu, saya juga mahu menekankan aspek pendidikan sebagai tunjang utama,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, beberapa artis mula menceburi politik antaranya penyanyi Aishah yang menyertai Pas dan bertanding sebagai calon Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Terbaru, pelawak, Afdlin Shauki dan juga penyanyi rap terkenal Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet menyertai PKR pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri berkata, beliau mahu memberi fokus kepada pembangunan ekonomi negara dan mengurangkan kadar pengangguran belia jika menceburi bidang politik.
Katanya, walaupun bergelar usahawan berjaya, cita-cita menjadi pemimpin politik terkenal dan terbaik ada namun mungkin belum masanya.
“Jika masuk politik saya akan diberi fokus kepada pendidikan kanak-kanak selain mahu pastikan peluang pekerjaan terbuka luas terutama bagi golongan muda kerana mereka ini tunjang kepada negara.
“Jika kadar pengangguran tinggi, kesan lebih teruk termasuk peningkatan kadar jenayah dan impak kepada sosial,” katanya.
Mengulas mengenai kelayakan undi 18 tahun, Aliff berkata, remaja pada usia berkenaan sudah boleh berfikir termasuk menjadi penentu hala tuju negara.
Bagaimanapun, pandangan berbeza dilontarkan Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang yang memberitahu, impiannya bukan menceburi politik sebaliknya berhasrat terus membela nasib rakyat.
“Menceburi politik perlu menjadi seorang pemimpin yang bukan hanya untuk diri sendiri sebaliknya perlu jadi seperti Khalifah Sayyidina Umar yang membela semua rakyat.
“Setiap jawatan kurniaan Tuhan. Kalau angkuh dengan kuasa dan cakap tanpa berfikir seolah-olah orang memerlukan kita, akhirnya tidak ke mana,” kata Uncle Kentng. – UTUSAN