PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik kembali dengan 493 individu ditahan semalam berbanding 332 individu dicekup kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 480 dikompaun manakala 13 lagi direman dengan kes tertinggi masih lagi gagal merekod butiran atau daftar masuk premis.
Kesalahan tersebut ujar beliau, mencatatkan sebanyak 214 kes, diikuti tidak memakai pelitup muka (84), gagal patuhi penjarakan fizikal (52), aktiviti pusat hiburan (16) dan lain-lain (127).
“Seramai 47 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan lima kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain sebanyak 126 bot atau kapal yang dicurigai dikesan berdekatan dengan perairan negara kita melalui 10 aktiviti penglihatan pasukan keselamatan,” ,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,020 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarahkan kuarantin dengan seramai 7,530 individu terbabit masih lagi berada di sejumlah stesen kuarantin ditetapkan.
Katanya, seramai 1,884 individu terlibat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 189,908 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.
Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 490 peruncit, 158 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,736 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis terlibat didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN