PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang bertungkus-lumus bertindak sebagai ‘tentera siber’ di media sosial demi membantah tindakan kekerasan zionis Israel terhadap Palestin wajar diberikan penghargaan.
Hal ini kerana mereka tanpa mengira waktu terus memberikan pencerahan kepada semua pihak sehingga membuka mata penduduk seluruh dunia kekejaman militan Israel dalam siri serangan dan keganasan terhadap penduduk Gaza.
Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim antara lain berkata, parti itu mendukung tindakan kerajaan Hamas yang penuh komited berjuang bagi mempertahankan tanah air umat Islam di negara tersebut.
“Isu Palestin perlu dilihat dalam kerangka pertembungan antara haq dan batil yang mana umat Islam keseluruhannya perlu cakna dan berusaha memahami perkara ini dengan tuntas.
“Tanah Palestin merupakan milik rakyat Palestin secara sejarah dan undang-undang. Kehadiran militan Israel mengaku Palestin milik mereka pada tahun 1948 dan kemudiannya secara strategik menghalau penduduk asal adalah satu tindakan ‘Settler Colonialism’ yang terkutuk.
“Isu ini juga bukanlah semata-mata isu kemanusiaan tetapi ia juga mengenai soal penjarahan asing yang merampas tanah milik penduduk asal. Bukan sekadar merampas, malah lebih keji lagi penduduk asal dipenjara, diseksa, dihalau dan dibunuh dengan kejam sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan laporan media antarabangsa berhubung konflik antara Israel yang terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza, Palestin sehingga hari ini.
Ketegangan antara kedua-dua negara tersebut yang bermula sejak Isnin minggu lalu, semakin meningkat sehingga Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran ia bakal mencetuskan peperangan secara besar-besaran.
Siri keganasan itu meletus selepas konflik Israel-Palestin meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan untuk bertegas dan memainkan peranan selain menjadi negara pendesak kepada badan-badan antarabangsa bagi mengambil tindakan undang-undang menyelamatkan umat Islam sekali gus mempertahankan negara Palestin.
“Puluhan nyawa telah terkorban dan ratusan rakyat Palestin cedera akibat kezaliman militan Israel yang menyerang tanpa belas kasihan. Malangnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak bersuara walaupun serangan militan Israel jelas telah mencabuli hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas sebuah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.
“Militan Israel juga telah memutarbelitkan fakta dengan memanipulasi berita menggunakan proksi media milik mereka. Dunia mengetahui bahawa militan Israel telah memulakan serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang beribadah dalam Masjid Al-Aqsa. Namun, media proksi mereka sedaya upaya melaporkan sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE