Raja Muda Perlis santuni mangsa ribut - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis santuni mangsa ribut

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berangkat meninjau beberapa buah rumah yang terjejas akibat ribut di Simpang Empat, Arau, Perlis, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau beberapa buah rumah sekitar Simpang Empat, di sini yang terjejas berikutan ribut Selasa lalu.

Baginda turut menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada keluarga terbabit.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan ketua-ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri dan pusat.

Baginda menyampaikan sumbangan kepada mangsa terlibat iaitu penjual kuih tradisional, Junaidah Ya sebanyak RM700; tukang rumah, Mohd. Solleh Hamid sebanyak RM8,000 dan pekerja pendawaian elektrik, Zairul Azhar Ahmad Rodhi, sebanyak RM4,500.

Selain menerima bantuan bencana daripada MAIPs itu, keluarga tersebut turut menerima sumbangan berupa keperluan makanan daripada rakan-rakan strategik MAIPs.

Dalam kejadian Selasa lalu, sebanyak 40 buah rumah terjejas berikutan angin kencang dan hujan lebat di beberapa kawasan sekitar negeri ini khususnya di kawasan Sanglang, Guar Sanji dan Simpang Empat di sini.

Kejadian sekitar pukul 7.30 sehingga 8 malam ketika umat Islam sedang berbuka puasa itu sekali gus meragut keceriaan penduduk yang terlibat khususnya ketika Aidilfitri bakal menjelang tiba minggu depan.

Selain rumah terjejas yang kebanyakkannya membabitkan bahagian dinding dan bumbung diterbangkan angin kencang itu, banyak pokok di kawasan berkenaan juga dilaporkan tumbang namun tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN