BUTTERWORTH: Seorang suri rumah mampu meraih pendapatan bersih hingga mencecah RM10,000 sebulan hanya dengan mengusahakan perniagaan biskut termasuk kuih raya sejak 20 tahun lalu.
Nor Jan Bee Omar, 54, berkata, setiap kali tiba musim perayaan khususnya ketika sambutan Aidilfitri, dia pasti tidak ‘menang tangan’ menyiapkan tempahan pelanggannya.
Sehubungan itu, ibu kepada seorang anak itu berkata, dia terpaksa mengambil sehingga lapan pekerja sambilan bagi membantu membuat kuih dan biskut raya di sebuah bengkel khas di Bagan Ajam, di sini.
“Kebanyakan pekerja saya terdiri daripada kalangan ibu tunggal serta mereka yang hidup susah dan ingin membantu meningkatkan pendapatan keluarga masing-masing sepanjang musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini.
“Alhamdulillah, walaupun masih berdepan PKP sama seperti tahun lepas, permintaan terhadap kuih dan biskut raya yang saya usahakan tidak pernah berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Nor Jan Bee memberitahu, ketika ini dia menjual sehingga 25 jenis kuih raya dan membantu memasarkan kira-kira 10 jenis kuih lagi yang diusahakan oleh penduduk setempat.
“Semua kuih ini saya jual pada harga yang berpatutan iaitu antara RM25 hingga RM29 sebalang,” katanya yang mula mengambil tempahan sebelum ibadah puasa bermula setiap tahun.
Menurut Nor Jan Bee, sepanjang Ramadan tahun ini juga dia menghasilkan lebih 60,000 kuih dan biskut raya iaitu lebih tinggi berbanding tahun lepas. – UTUSAN ONLINE