PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador susulan pendedahannya mengenai ahli politik yang terbabit rasuah.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, pendedahan Abdul Hamid adalah serius dan perlu diambil perhatian oleh SPRM.
Beliau berkata, SPRM perlu menyiasat segera selain Abdul Hamid juga dikehendaki mendedahkan satu persatu nama ahli politik yang dimaksudkan itu.
“Isu (pendedahan) ini betul-betul serius kerana selama ini ia (dakwaan ahli politik terbabit rasuah) didedahkan oleh orang-orang biasa, namun kali ini ia dibongkarkan sendiri oleh Ketua Polis Negara,” katanya ketika ditemui wartawan selepas menyerahkan aduan kepada SPRM.
Aduan berkenaan diserahkan Ibrahim kepada Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Noor Azlan Razali.
Menurut beliau, SPRM menyambut baik aduan yang dikemukakan itu dan memberi jaminan untuk menyiasat perkara tersebut.
Selain itu, Ibrahim mahu SPRM menyiasat dakwaan kononnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mencampuri urusan pelantikan pegawai-pegawai tinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, urusan pelantikan tersebut adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab Ketua Polis Negara walaupun Menteri Dalam Negeri adalah Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).
“Dari struktur organisasi, Abdul Hamid adalah Ketua Pegawai Eksekutif kepada agensi kepolisan yang mengurus PDRM dan operasinya, malah lebih mengetahui secara mendalam siapa yang patut dilantik atau tidak dilantik,” katanya.
Kata Ibrahim, siasatan ke atas pendedahan Abdul Hamid kelak akan membantu pelaksanaan undang-undang dan peraturan-peraturan yang wajib diikuti semua kakitangan kerajaan dan ahli politik berjawatan dalam kerajaan.
Jelasnya lagi, keyakinan rakyat terhadap PDRM termasuk SPRM dan agensi penguat kuasa lain perlu dikembalikan. – UTUSAN