TEMERLOH: Bermain-main dengan senjata api seperti ditunjuk-tunjuk dan mengacukannya kepada sasaran adalah pantang larang utama dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan tragedi.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penggunaan senjata api oleh anggota perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan di bawah Akta Polis.
Beliau menegaskan, segala peraturan penggunaan senjata api seperti pistol sudah sedia ada dan lengkap untuk melindungi dan menyelamatkan diri.
“Penggunaan dan garis panduan adalah teliti dan cermat seharusnya tidak berlaku kecuaian oleh mana-mana anggota,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Nurhalim Tumiran, 24, di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.
Norhalim dilaporkan maut setelah disyaki terkena tembakan rakannya di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam, Khamis lalu.
Ketika kejadian, suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah si mati yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.
Norhalim meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan Nur Alisya, setahun dua bulan.
Acryl Sani berkata, insiden berkenaan sedang disiasat dari pelbagai sudut bergantung pada hasil siasatan sama ada wujud unsur kecuaian atau kemalangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, keluarga Allahyarham akan menerima bantuan insuran kelompok koperasi polis dan beberapa ganjaran lain sebagaimana kemudahan seorang penjawat awam.
Sementara itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan senjata api renjatan elektrik dalam usaha meningkatkan kecekapan anggota menangani jenayah di negara ini.
“Senjata renjatan ini didaftarkan dalam perolehan PDRM dan dijangka dapat digunakan dalam tempoh terdekat sebaik sahaja mendapat peruntukan daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE