IPOH: Kerajaan negeri digesa menghentikan aktiviti akuakultur kolam udang pesisir pantai berhampiran Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di Kerian berkeluasan sekitar 200 ekar yang akan menjejaskan pendapatan nelayan.
Setiausaha Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Azrilnizam Omar berkata, pihaknya menerima aduan berhubung cadangan aktiviti akuakultur di dalam hutan paya bakau di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) di kawasan tersebut.
Menurutnya, kawasan berkenaan merupakan sebahagian daripada hutan paya bakau laut di pesisir pantai berhampiran Kampung Sungai Betul Bawah.
“Projek ini akan menjejaskan mata pencarian komuniti nelayan pantai setempat yang terdiri daripada golongan B40.
“Aktiviti akuakultur kolam udang di dalam kawasan tersebut bukan sahaja merosakkan hutan paya bakau laut malah memusnahkan kawasan pembiakkan dan nurseri bagi hidupan laut seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan semakan pihaknya, Jaring, kawasan yang terletak berhampiran jeti nelayan itu tidak berada di dalam Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diwartakan oleh kerajaan negeri.
Katanya, pelaksanaan aktiviti penternakan udang di kawasan itu juga di dapati bercanggah dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 di mana aktiviti akuakultur yang dibenarkan hanya melibatkan penternakan ikan dalam sangkar, ikan hiasan dan juga kerang.
Menurut Azrilnizam, pelepasan air sisa kolam ternakan tersebut ke laut dan sungai yang sering kali berlaku akan membunuh hidupan laut di kawasan tersebut dan menjejaskan hasil tangkapan serta kehidupan komuniti nelayan pantai.
“Jaring menggesa praktis yang memusnahkan ekosistem hutan paya bakau laut dan menjejaskan mata pencarian nelayan pantai ini dihentikan segera.
“Kehidupan dan pendapatan komuniti nelayan pantai di sekitar Kampung Sungai Betul Bawah sudah cukup terjejas dengan pencemaran daripada aktiviti kolam udang yang sedia ada dan aktiviti pencerobohan oleh bot-bot pukat Apollo ke Zon A yang berleluasa,” katanya.
Sementara itu, Azrilnizam meminta kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu pemilikan tanah oleh PPPNP di kawasan hutan paya bakau laut sekitar Perak di mana syarikat milik kerajaan (GLC) Perak ini dilihat seolah-olah bertindak sebagai broker.
“PPPNP seolah-olah bertindak sebagai broker dengan kelebihan sebagai sebuah perbadanan di bawah kerajaan negeri dengan memohon tanah di kawasan hutan paya bakau laut daripada kerajaan negeri dan kemudian disewakan kepada pengusaha-pengusaha kolam udang,” katanya. – UTUSAN