ARAU: Taktik menggunakan rumah kosong dengan peti surat polis sebagai transit menyimpan bekalan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran terbongkar selepas polis melakukan serbuan di rumah itu di Kampung Guar Sanji, di sini hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7 pagi itu, polis merampas satu tan metrik daun ketum bernilai RM50,000 serta tiga gram dadah jenis methamphetamine selain menahan lapan lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.
Lima individu tersebut ditahan semasa serbuan manakala tiga lagi ditangkap ketika ke rumah tersebut kira-kira sejam kemudian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Nanda Maarof berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang ramai dan hasil risikan yang dibuat kira-kira sebulan.
Katanya, siasatan awal mendapati, semua suspek dipercayai adalah penagih dadah dan menjalankan kegiatan ketum itu bagi menampung kos untuk menagih.
“Kegiatan ini dipercayai berjalan antara satu hingga dua bulan. Bekalan ketum dipercayai diambil daripada Naka, Kedah yang dibawa masuk melalui jalan-jalan tikus dan disimpan di rumah ini sebagai transit sebelum diedarkan ke tempat lain serta dibawa ke negara jiran.
“Mereka disyaki menjalankan aktiviti membawa masuk daun ketum itu pada waktu senja hingga ke awal pagi. Daun ketum ini dibawa menggunakan plastik hitam sebelum dibungkus semula di rumah transit tersebut.
“Dari segi reka bentuk rumah ini, kita percayai ia rumah bantuan kerajaan dan hasil siasatan mendapati rumah tersebut adalah milik ibu saudara kepada salah seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Nanda, pihaknya belum mengenal pasti sama ada pemilik rumah yang kini tinggal di Kuala Lumpur itu mengetahui atau tidak aktiviti tersebut dijalankan di rumah berkenaan.
Sementara itu, Nanda memberitahu, peti surat polis yang terdapat di rumah tersebut dipercayai dipasang sendiri oleh mereka kerana ia bukannya milik polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Kesemua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Katanya, serbuan tersebut turut dilakukan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri. – UTUSAN ONLINE