IPOH: Polis Perak memperketat kawalan di sempadan negeri dan daerah dengan menambah 31 lagi sekatan jalan raya (SJR) bagi menyekat cubaan rentas negeri terutama menjelang Aidilfitri.
Ketua Polis negeri, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, SJR itu juga melibatkan tambahan 620 anggota bagi penugasan di seluruh negeri.
Katanya, sebanyak 457 pasukan pemantau pematuhan turut digerakkan bagi memantau pematuhan SOP dalam kalangan orang ramai.
“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita telah mendirikan SJR di 27 lokasi melibatkan penugasan pegawai dan anggota seramai 313 orang.
“Bagaimanapun, jumlah SJR itu akan ditambah di 31 lokasi lagi dengan tambahan 620 pegawai dan anggota ekoran larangan merentas daerah dan negeri yang berkuatkuasa mulai esok,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Katanya, bilangan SJR dan pasukan pemantau SOP akan bertambah daripada semasa ke semasa mengikut keperluan.
“Penambahan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan SJR di negeri ini sebanyak 58 buah dengan melibatkan penugasan 933 pegawai dan anggota,” katanya. – UTUSAN ONLINE