JELEBU: Polis menambah halangan konkrit antara Jalan Geylang, Pertang (Jelebu) ke Batu Kikir (Jempol) di sini bagi menyekat pergerakan rentas daerah di laluan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, halangan konkrit sebelum ini dilaksanakan di jalan utama antara Kuala Klawang di sini dan Genting Peras yang memisahkan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, langkah itu bagi memastikan tiada pergerakan rentas daerah mahupun negeri di daerah berkenaan sempena pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh (total lockdown) esok.
“Bagi sempadan dengan negeri Pahang pula tindakan meletakkan halangan dilaksanakan polis Pahang.
“Selain tambahan kekal ini, satu lagi sekatan jalan raya (SJR) akan dilaksanakan di Kilometer 0.5, Jalan Simpang Pertang-Kuala Pilah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Maslan berkata, semua pihak dinasihatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sekatan pergerakan menyeluruh, esok.
“Setakat bulan Mei, sebanyak 30 kompaun kesalahan pelanggaran SOP dikeluarkan termasuklah bagi kesalahan rentas negeri dan daerah,” katanya. – UTUSAN